Wednesday, 25 January 2017

Pelajar universiti Gaza berjaya hasilkan simen guna bahan buangan

Pelajar universiti Gaza berjaya hasilkan simen guna bahan buangan

GAZA– Empat pelajar di semenanjung Gaza yang mempelajari kejuruteraan awam di sebuah Universiti Islam di sini berjaya menggunakan bahan buangan sisa abu kaca dan arang batu menjadi simen selepas menjalankan penyelidikan selama hampir empat bulan.
Idea itu lahir ketika pelajar Rahma Ashour, Noor Buhaisi, Aya Abu Hashish dan Angham Madhoun sedang mencari idea untuk projek semester akhir pengajian.
Mereka berhasrat menghasilkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada penduduk yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan simen akibat kepungan dikenakan ke atas bandar itu oleh Israel.
Menurut Institusi Media Al-Resalah empat pelajar wanita itu kemudian memutuskan membuat penyelidikan menghasilkan ekstrak simen daripada bahan yang boleh diperolehi di semenanjung Gaza.
Mereka mengumpul 20 kilogram serpihan kaca dicampur dengan sedikit simen dan bahan-bahan lain dan terkejut apabila idea itu membuahkan hasil.
Ashour berkata, bahan yang dihasilkan itu boleh digunakan untuk kerja-kerja pembinaan seperti memasang jubin dan menampal dinding sekaligus dapat membantu penduduk di bandar itu yang mengalami masalah kekurangan bekalan simen.
Beliau berkata, banyak masalah yang dihadapi sepanjang penyelidikan dilakukan termasuk gangguan bekalan elektrik, mendapatkan permit daripada pihak universiti serta kekurangan abu kaca dan arang batu.
Namun, segala kepayahan berbalas apabila projek itu berjaya dan membolehkan Ashour bersama rakan-rakannya memperolehi ijazah.
Mereka berharap ada pihak yang berminat terhadap hasil penyelidikan yang boleh digunakan bagi membantu mengurangkan masalah sektor pembinaan di Gaza.
Pihak Israel hanya membenarkan 3,000-4,000 tan bahan pembinaan dibawa masuk ke semenanjung Gaza dan jumlah itu sangat kecil berbanding keperluan sebenar untuk membolehkan usaha pemulihan dilakukan selepas bandar tersebut mengalami kemusnahan teruk akibat perang. – 

kredit: Bernama

Untuk cerita Dan info menarik Sila Like Page kami Di Facebook : Beg Galas Berilmu

No comments:

Post a Comment

Material Story